Cadangan Jawapan

Kategori: Urusan Tatatertib

Muka 1 dari 4 mukasurat

Soalan 1: Apakah tindakan yang sesuai diambil terhadap pegawai dalam percubaan yang melakukan kesalahan tatatertib kerana tindakan melalui proses tatatertib akan mengambil masa yang lama?

Jawapan: Dari segi peraturan, tindakan tatatertib hingga ke peringkat buang kerja boleh diambil terhadap pegawai dalam percubaan, terutama jika mereka telah melakukan kesalahan yang serius; pilihan lain ialah KJ memperakukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia supaya pegawai tidak disahkan dalam perkhidmatan. Berdasarkan perakuan itu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia boleh menamatkan perkhidmatan mereka; dan pegawai dalam percubaan sepatutnya lebih berdisiplin dan mengelak diri daripada melakukan kesalahan tatatertib. Tujuan tempoh percubaan ialah untuk memberi peluang kepada pegawai membuktikan kesesuaian dan kebolehan mereka sebagai pegawaii awam. Oleh itu KJ perlu lebih tegas mengendalikan kes salah laku mereka.

Soalan 2: Adakah tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja boleh diambil ke atas pegawai yang telah bersara wajib, atas kesalahan yang dilakukan semasa dalam perkhidmatan?

Jawapan: Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai yang telah bersara kecuali jika tindakan tatatertib telah pun dimulakan (pertuduhan telah dihadapkan kepada pegawai) sebelum tarikh kuat kuasa persaraan itu, maka tempoh perkhidmatan pegawai itu disifatkan sebagai telah dilanjutkan sehingga tindakan tatatertib itu berkeputusan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 10 Akta Pencen.

Soalan 3: Adakah tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pegawai yang telah meletak jawatan dari perkhidmatan awam?

Jawapan: Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai pada tarikh kuat kuasa meletak jawatan. Tindakan tatatertib yang sedang diambil juga tidak boleh diteruskan lagi selepas berkuat kuasa perletakan jawatan tersebut.

Soalan 4: Apakah tindakan yang boleh diambil oleh KJ jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta?

Jawapan: Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskan cuti sakit. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital. Jika dapat dibuktikan pegawai memperolehi sijil sakit secara tipu/palsu, atau mereka didapati tidak sakit seperti yang dilaporkan oleh doktor, maka KJ boleh tidak meluluskan cuti sakit seperti yang dipohon atau melaporkan kepada pihak polis dan mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap mereka. Dengan tindakan di atas KJ tidak mempersoalkan integriti doktor yang memeriksa pegawai. Sebaliknya KJ hanya mempersoalkan integriti pegawai terbabit.

Soalan 5: Jika Urus Setia Jabatan mendapati terdapat kesilapan dalam prosedur tindakan tatatertib terhadap seseorang pegawai, bilakah sepatutnya Urus Setia boleh membuat proses semula berhubung dengan tindakan tatatertib berkenaan?

Jawapan: Jika surat pertuduhan belum dikeluarkan kepada tertuduh, kesalahan/pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh boleh dibuat semula. Sebaliknya jika surat pertuduhan telah dikeluarkan kepada tertuduh, maka Urus Setia perlu membatalkan prosiding tindakan tatatertib dan bukannya membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh. Urus Setia perlu menyemak segala dokumen, peraturan yang digunapakai sebelum laporan pelanggaran tatatertib dihantar kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Jabatan bagi memutuskan kes pegawai sama ada wujud prima facie/tidak wujud.

| << Mula | < Sebelum | Selepas > | Akhir >>|

1 2 3 4

10 Soalan paling lazim


Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman ini.